Kelakuan dan sejarah kehidupan Gajah

Ekologi dan aktiviti

Gajah Sri Lanka memakan rumput di Taman Negara Yala.Gajah Afrika menggunakan gadingnya untuk mencari makan.

Gajah semak Afrika dapat ditemui di berbagai jenis habitat, seperti di savana, gurun, paya, dan pesisir tasik, di ketinggian yang berbagai-bagai antara permukaan laut hingga kawasan pergunungan di atas garis salji. Gajah hutan Afrika utama hidup di hutan-hutan Khatulistiwa, tetapi akan memasuki hutan gerbang dan ekoton di antara hutan dan savana.[18] Gajah Asia lebih gemar hidup di kawasan yang merupakan percampuran antara rerumputan, tumbuhan berkayu yang tumbuh rendah, dan pokok-pokok, dengan habitat utama di hutan semak belukar berduri yang kering di India Selatan dan Sri Lanka dan hutan hijau abadi di Semenanjung Malaysia.[11] Gajah merupakan haiwan herbivor dan akan memakan daun, ranting, buah, kulit pokok, dan akar.[18] Ia terlahir dengan usus yang steril, dan memerlukan bakteria yang dapat diperoleh daripada tinja ibunya untuk mencerna tumbuh-tumbuhan.[83] Gajah Afrika pada umumnya merupakan pemakan daun, sementara gajah Asia cenderung makan rumput. Ia dapat mengambil 150 kg (330 lb) makanan dan 40 L (11 US gal) air dalam satu hari. Gajah cenderung hidup di tepi sumber air.[18] Tempoh makan biasanya berlaku pada pagi, siang, dan malam hari. Pada pertengahan hari, gajah beristirahat di bawah pokok dan mungkin tertidur ketika berdiri. Gajah baru berbaring tidur pada malam hari.[72][84] Rata-rata waktu tidur gajah adalah 3–4 jam per hari.[85] Baik jantan mahupun kawanan keluarga umumnya berjalan sejauh 10–20 km (6–12 mi) dalam satu hari, tetapi beberapa gajah telah mencapai jarak sejauh 90–180 km (56–112 mi) di Taman Negara Etosha, Namibia.[86] Gajah melakukan migrasi bermusim untuk mencari makanan, air, dan pasangan. Di Taman Negara Chobe, Botswana, kawanan gajah berkelana sejauh 325 km (202 mi) untuk mengunjungi sungai setelah sumber air tempatan mengering.[87]

Oleh kerana mempunyai saiz tubuh yang besar, gajah meninggalkan impak besar terhadap alam sekitar dan dianggap sebagai spesies kunci. Kelakuan gajah yang sering menumbangkan pokok dan semak dapat mengubah savana menjadi padang rumput; ketika menggali untuk mencari air selama musim kemarau, gajah menemui sumber air yang juga dapat digunakan oleh haiwan lain. Gajah dapat memperbesar sumber air ketika sedang mandi. Di Gunung Elgon, gajah menggali gua yang dapat digunakan oleh ungulat, hyrax, kelawar, burung dan serangga.[88] Gajah juga berperanan penting dalam menyebarkan benih; gajah hutan Afrika dapat menelan dan mengeluarkan benih tanpa meninggalkan sebarang kesan (atau malah memberikan pengaruh positif) terhadap proses percambahan. Benih biasanya disebarkan dalam jumlah besar di jarak yang jauh.[89] Di hutan Asia, benih-benih yang besar perlu diangkut dan disebarkan oleh herbivor besar seperti gajah dan badak. Relung ekologi ini tidak dapat diisi oleh herbivor terbesar berikutnya, iaitu tapir.[90] Sebahagian besar makanan yang diambil oleh gajah tidak dihadam sehingga tinjanya dapat menjadi makanan bagi haiwan lain seperti kumbang tahi dan monyet.[88] Gajah juga meninggalkan kesan buruk terhadap ekosistem. Di Taman Negara Murchison Falls di Uganda, jumlah gajah yang terlalu besar mengancam beberapa spesies burung kecil yang bergantung pada kawasan hutan. Beratnya dapat mengakibatkan pemadatan tanah, sehingga air hujan akan mengalami larian permukaan yang dapat menyebabkan hakisan.[84]

Sebahagian besar makanan gajah tidak dicerna. Haiwan lain seperti babun akan mengambil tahi gajah untuk mencari benih yang belum dicerna.

Pada umumnya gajah hidup berdampingan dengan herbivor lain, yang biasanya akan menjauh. Kadang-kadang terjadi interaksi agresif antara gajah dengan badak. Di Taman Negara Aberdare, Kenya, seekor badak menyerang seekor anak gajah, dan akibatnya badak tersebut dibunuh oleh gajah lain.[84] Di Cagar Buruan Hluhluwe–Umfolozi, Afrika Selatan, gajah yatim muda yang baru diperkenalkan menjadi agresif dan membunuh sekitar 36 badak pada tahun 1990-an; keagresifan tersebut berakhir setelah gajah jantan yang lebih tua diperkenalkan.[91] Ukuran tubuh gajah dewasa yang besar membuat ia hampir tidak dapat diserang oleh pemangsa. Anak gajah mungkin diburu oleh singa, dubuk bertompok, dan anjing liar di Afrika,[14] atau harimau di Asia.[11] Singa-singa di Savuti, Botswana, telah menyesuaikan diri untuk memburu gajah pada musim kemarau, dan satu kawanan yang terdiri daripada 30 singa diketahui pernah membunuh gajah-gajah yang berusia antara empat hingga sebelas tahun.[92] Bila dibandingkan dengan herbivor lain, gajah cenderung dijangkiti oleh banyak parasit, terutama nematod. Ini diakibatkan oleh kurangnya tekanan daripada pemangsa yang seharusnya dapat membunuh banyak individu yang dijangkiti oleh banyak parasit.[93]

Organisasi sosial

Keluarga gajah Afrika di Taman Negara Amboseli. Perhatikan posisi anak gajah yang dilindungi di tengah-tengah kawanan.Keluarga gajah sedang mandi. Mandi merupakan kelakuan yang memperkuat ikatan sosial.

Kehidupan sosial gajah jantan dan betina sangat berbeza. Gajah betina menghabiskan hidupnya dalam kawanan keluarga yang matrilineal (nasab ibu). Beberapa kawanan terdiri daripada lebih sepuluh ahli (termasuk tiga pasangan ibu dan anak) yang dipimpin oleh seekor matriark yang biasanya merupakan betina tertua.[94] Sang matriark memimpin kawanan hingga ia meninggal[14] atau jika ia tidak lagi mempunyai cukup tenaga untuk menjalankan tugasnya;[95] menurut pemerhatian di zoo, ketika matriark meninggal, kandungan kortikosteron (hormon stres) tinja meningkat mendadak pada gajah yang masih hidup.[96] ketika tugasnya berakhir, anak perempuan tertua sang matriark akan menggantikannya, bahkan bila saudara perempuan sang matriark masih hidup.[14] Matriark yang lebih tua cenderung menjadi pembuat keputusan yang lebih efektif.[97]

Kehidupan sosial gajah betina tidak hanya terhad pada unit keluarga yang kecil. Di Taman Negara Amboseli, Kenya, gajah betina juga berinteraksi dengan keluarga, suku, dan subpopulasi lain. kawanan keluarga dapat bergaul dan membuat ikatan dengan kawanan lain, sehingga membentuk kawanan ikatan. kawanan ikatan biasanya terdiri daripada dua kawanan keluarga. Pada musim kemarau, keluarga-keluarga gajah mungkin berkumpul dan membentuk suku. kawanan-kawanan dalam suku ini tidak mempunyai ikatan yang kuat, tetapi ia mempertahankan kawasan musim kemaraunya daripada suku lain. Biasanya terdapat sembilan kawanan di dalam satu suku. Populasi gajah di Amboseli juga terbagi menjadi subpopulasi “pusat” dan “tepian”.[94]

Beberapa populasi gajah di India dan Sri Lanka juga mempunyai organisasi sosial yang serupa. Di kawasan tersebut nampaknya terdapat unit keluarga yang padu dan perkumpulan yang lebih longgar. Ia mempunyai “unit perawatan” dan “unit pengurusan anak”. Di India selatan, populasi gajah terdiri daripada kawanan keluarga, kawanan ikatan, dan mungkin suku puak. kawanan keluarga cenderung kecil dan terdiri daripada satu atau dua betina dewasa dan anaknya. kawanan yang mempunyai lebih daripada dua betina dewasa dipanggil “kawanan gabungan”. Populasi gajah di Semenanjung Malaysia bahkan mempunyai unit keluarga yang lebih kecil, dan biasanya tidak mempunyai organisasi sosial yang lebih tinggi tingkatannya daripada keluarga atau kawanan ikatan. Sementara itu, kawanan gajah hutan Afrika umumnya terdiri daripada satu betina dewasa dengan satu hingga tiga anak. kawanan ini kelihatan berinteraksi dengan kawanan lain, terutama di tanah terbuka.[94]

Gajah jantan dewasa menghabiskan waktu ia sendiri atau dalam kawanan sesama jenis.

Kehidupan gajah jantan sendiri sangat berbeza. Menjelang dewasa, gajah jantan akan menghabiskan lebih banyak waktu di luar kawanannya dan bergaul dengan jantan dari luar atau bahkan kawanan lain. Di Amboseli, gajah jantan yang berusia 14–15 tahun menghabiskan 80% waktunya di luar kawanan keluarganya. Gajah betina dewasa di kawanan mula menjadi agresif terhadap sang jantan, yang akan mendorongnya untuk meninggalkan kawanan buat selamanya. Setelah sang jantan meninggalkan kawanan, ia akan hidup sendiri atau bersama jantan lain. Gajah jantan di hutan yang padat biasanya hidup sendiri. Gajah Asia jantan pada umumnya menyendiri, tetapi kadang-kadang membentuk kawanan yang terdiri daripada dua individu atau lebih; kawanan terbesar terdiri daripada tujuh ahli. Sementara itu, gajah semak Afrika jantan membentuk kawanan yang jumlah anggotanya melebihi 10 individu; kawanan terbesar terdiri daripada 144 ahli.[98] Terdapat hierarki di antara para jantan, baik pada yang menyendiri mahupun pada yang berkawanan. Dominasi bergantung pada usia, besar tubuh, dan keadaan seksual.[98] Jantan yang lebih tua kelihatan mampu mengawal keagresifan jantan yang lebih mudah dan mencegah ia membentuk “geng”.[99] Gajah jantan dan betina berkumpul untuk membiak. Gajah jantan nampaknya berhubungan dengan kawanan keluarga bila terdapat gajah betina yang sedang mengalami kitaran estrus.[98]

Kelakuan seksual

Musth

Rencana utama: Musth
Gajah jantan sedang mengalami musth.

Gajah jantan dewasa mengalami fasa kenaikan testosteron yang dipanggil musth. Pada populasi gajah di India selatan, gajah jantan pertama kali memasuki tempoh musth pada umur 15 tahun, tetapi tidak terlalu terlalu hingga usianya melebihi 25 tahun. Di Amboseli, gajah jantan yang berusia di bawah 24 tahun tidak mengalami musth, sementara sesetengah gajah yang berumur 25–35 tahun dan semua gajah berusia di atas 35 mengalaminya. Gajah jantan muda nampaknya memasuki tempoh musth pada musim kemarau (Januari–Mei), sementara gajah jantan yang lebih tua mengalaminya pada musim hujan (Jun–Disember). Ciri-ciri utama gajah yang sedang mengalami musth adalah keluarnya cairan daripada kelenjar temporal di wajahnya. Sang jantan dapat membuang air kecil dengan zakar yang masih berada di dalam kulupnya, sehingga air kencing akan menyemprot ke tungkai belakangnya. Kelakuan yang dikaitkan dengan musth adalah berjalan dengan kepala yang terangkat dan berayun, mengorek tanah dengan gading, menandai, membuat suara gaduh, dan melambaikan satu telinga saja. Musth boleh berlaku antara sehari hingga empat bulan.[100]

Gajah jantan akan menjadi sangat agresif selama mengalami musth. Di antara gajah jantan yang sedang dan tidak sedang mengalami musth, besar tubuh merupakan faktor yang menentukan terjadinya perjumpaan yang agonistik. Ketika terjadi perkelahian antara individu daripada dua kawanan, gajah jantan yang sedang mengalami musth biasanya menang, bahkan bila gajah yang sedang tidak mengalami musth lebih besar. Gajah jantan mungkin akan berhenti menunjukkan tanda-tanda musth bila bertemu dengan gajah yang sedang mengalami musth daripada peringkat yang lebih tinggi. Gajah yang sedang mengalami musth daripada peringkat yang sama cenderung menghindari satu sama lain. Dalam perjumpaan agonistik, gajah yang mengalami musth biasanya mengancam, mengejar, dan melakukan perkelahian ringan dengan menggunakan gading. Namun, perkelahian yang serius jarang terjadi.[100]

Mengawan

Gajah jantan sedang mengawan dengan gajah betina.

Gajah merupakan haiwan poligini,[101] dan persetubuhan paling sering terjadi pada puncak musim hujan.[102] Gajah betina yang sedang mengalami kitaran estrus mengeluarkan feromon dalam air kencing dan rembesan faraj lain untuk menunjukkan kesediaannya untuk mengawan. Gajah jantan akan mengikuti calon pasangan dan menilai keadaannya dengan melakukan tindak balas flehmen, iaitu ketika sang jantan mengumpulkan sampel kimia dengan menggunakan belalainya dan membawanya ke dalam organ vomeronasal.[103] Kitaran estrus gajah betina berlaku selama 14–16 minggu dengan fasa folikular selama 4–6 minggu dan fasa luteal selama 8–10 minggu. Pada fasa folikular, gajah mengalami dua kali peningkatan kadar hormon pelutein, sementara sebahagian besar mamalia hanya mengalami satu kali saja. Peningkatan pertama (atau anovulatori) dapat memberi isyarat kepada gajah jantan bahawa sang betina sedang mengalami kitaran estrus dengan mengubah baunya, tetapi ovulasi baru terjadi pada peningkatan kedua (atau ovulatori).[104] Tingkat kesuburan pada gajah betina mula berkurang pada usia 45–50.[95]

Gajah jantan mempunyai kelakuan yang dipanggil “menjaga pasangan”, iaitu ketika ia mengikuti betina yang sedang mengalami kitaran estrus dan menjaganya daripada jantan lain. Ini biasanya dilakukan oleh jantan yang sedang mengalami musth, dan betina secara aktif berupaya agar dijaga olehnya, terutama yang lebih tua.[105] Maka jantan yang lebih tua cenderung lebih berjaya secara reproduktif.[98] Musth nampaknya digunakan oleh gajah betina untuk mengetahui keadaan sang jantan, kerana gajah jantan yang lemah atau terluka tidak mempunyai musth yang normal.[106] Bagi betina muda, makin dekatnya jantan yang lebih tua kelihatan menakutkan, sehingga saudara-saudaranya berada di tepinya untuk memberi dukungan dan menenteramkan.[107] Selama persetubuhan, gajah jantan meletakkan belalainya di punggung betina.[108] Penis gajah sangat gesit dan dapat bergerak bebas.[109] Sebelum bersetubuh, zakar gajah melengkung ke depan dan ke atas. Persetubuhan berlaku selama sekitar 45 detik tanpa gerakan pinggul atau jeda ejakulasi.[110]

Kelakuan homoseksual banyak ditemui pada gajah jantan mahupun betina; bahkan menurut perkiraan, 45% perjumpaan seksual pada gajah Asia dalam kurungan merupakan perjumpaan sesama jenis.[111] Kelakuan homoseksual pada gajah meliputi persetubuhan seperti pada interaksi heteroseksual.[111] Gajah jantan sering membentuk "kawanan" yang terdiri daripada seekor individu yang lebih tua dan satu atau kadang dua jantan yang lebih muda, dan kelakuan seksual merupakan unsur penting dalam dinamika sosial kawanan tersebut.[111] Tidak seperti hubungan heteroseksual yang berlaku cepat, hubungan antara jantan dapat berlaku selama bertahun-tahun.[111] Seperti pada perjumpaan heteroseksual, jantan menunjukkan keinginannya untuk bersanggama dengan meletakkan belalainya di punggung jantan lain.[111] Sementara itu, kelakuan sesama jenis pada gajah betina telah didokumentasi dalam kurungan ketika ia melancap satu sama lain dengan menggunakan belalainya.[111]

Kelahiran dan anak gajah

Seekor induk gajah Afrika sedang mandi dengan anaknya.

Gestasi pada gajah biasanya berlaku selama dua tahun, dengan rentang waktu antar kelahiran antara empat hingga lima tahun. Kelahiran biasanya berlaku pada musim hujan.[112] Tinggi anak gajah yang baru lahir adalah 85 cm (33 in), sementara beratnya lebih kurang 120 kg (260 lb).[107] Umumnya, dalam satu kebuntingan hanya satu anak gajah yang lahir, tetapi kadang-kadang lahir anak kembar.[113] Kebuntingan gajah yang agak panjang disokong oleh lima korpus luteum (sementara pada kebanyakan mamalia hanya ada satu) dan memberi lebih banyak waktu bagi fetus untuk tumbuh, terutama otak dan belalainya.[113] Maka daripada itu, gajah yang baru lahir bersifat prekosial dan dapat berdiri, berjalan, dan mengikuti ibu dan keluarganya.[114] Anak gajah yang baru lahir biasanya menjadi pusat perhatian ahli kawanan. Gajah dewasa dan sebahagian besar gajah muda lain akan berkumpul di tepi gajah yang baru lahir, kemudian menyentuh dan membelainya dengan menggunakan belalai. Pada hari-hari pertama, sang induk tidak membolehkan ahli kawanan lain mendekati anaknya. Alloparenting – iaitu ketika anak gajah diurus oleh gajah lain – terjadi pada beberapa kawanan. Allomother biasanya berusia dua hingga dua belas tahun.[107] Ketika pemangsa mendekat, seluruh kawanan keluarga berkumpul dan menjaga anak gajah di tengah.[115]

Pada hari-hari pertama, kaki gajah yang baru lahir masih goyah dan perlu dibantu oleh induknya. Gajah yang baru lahir bergantung pada deria sentuhan, bau, dan pendengaran, kerana penglihatannya belum elok. Kawalan terhadap belalai masih lemah, sehingga belalai bergerak ke depan dan belakang dan akibatnya mudah tersandung. Pada minggu kedua, anak gajah dapat berjalan lebih tegap dan kontrol terhadap belalai lebih kuat. Setelah melewati bulan pertamanya, anak gajah dapat mengambil, memegang, dan menempatkan benda di mulutnya, namun belum dapat menghisap air melalui belalainya dan harus minum terus daripada mulutnya. Anak gajah juga masih bergantung pada ibunya dan tetap berada di sisi ibu.[114]

Pada tiga bulan pertama, pengambilan zat gajah hanya berasal dari air susu induk. Setelah itu, gajah mula mencari tumbuh-tumbuhan dan dapat menggunakan belalainya untuk mengumpulkan air. Pada ketika yang sama, koordinasi bibir dan tungkai makin baik. Anak gajah masih menyusu hingga berumur enam bulan, dan setelah itu ia menjadi lebih berdikari. Pada umur sembilan bulan, koordinasi mulut, belalai, dan kaki sudah sempurna. Setelah setahun, kemampuan anak gajah untuk mengurus, minum dan makan sendiri sudah berkembang sepenuhnya. Sang anak masih memerlukan zat dan perlindungan daripada ibunya selama paling tidak satu tahun berikutnya. Menyusui biasanya berlaku selama 2-4 minit per jam untuk anak gajah yang berusia lebih muda daripada setahun, dan gajah masih menyusui hingga mencapai usia tiga tahun atau lebih tua. Menyusui setelah umur dua tahun berperanan dalam mempertahankan tingkat pertumbuhan, keadaan tubuh, dan kemampuan membiak.[114] Terdapat perbezaan antara permainan anak gajah jantan dan betina; betina berlari atau mengejar satu sama lain, sementara jantan bermain-main dengan berkelahi. Gajah betina mencapai kematangan seksual pada umur sembilan tahun,[107] sementara gajah jantan pada usia 14–15 tahun.[98] Jangka hidup gajah lebih kurang 60–70 tahun.[64] Namun, Lin Wang, seekor gajah Asia dalam kurungan, meninggal pada umur 86 tahun.[116]

Komunikasi

Gajah Asia menyapa satu sama lain dengan saling melilit belalai.

Sentuhan merupakan alat komunikasi yang penting bagi gajah. Individu menyapa satu sama lain dengan mengusap-usap atau melilit belalai; belalai juga dililit ketika perbalahan ringan. Gajah yang lebih tua akan menampar dengan menggunakan belalai, menendang, dan mendorong untuk mendisiplinkan yang lebih muda. Individu sebarang usia atau jantina akan menyentuh mulut, kelenjar temporal, dan alat kelamin ketika sedang bertemu atau jika senang. Dengan melakukan hal tersebut, individu dapat mengambil isyarat kimia. Sementara itu, sentuhan merupakan cara berkomunikasi antara induk dan anak yang sangat penting. Ketika bergerak, induk gajah menyentuh anaknya dengan menggunakan belalai atau kaki bila sedang berdampingan, atau dengan ekor jika anak gajah berada di belakang. Apabila anak gajah ingin beristirahat, ia akan menekan tungkai depan ibunya, sementara bila ingin menyusui, ia akan menyentuh payudara atau tungkainya.[117]

Gajah menunjukkan ancaman dengan mengangkat kepalanya dan membentangkan telinganya. Gajah juga dapat menambah efeknya dengan menggoncangkan kepala, mengibaskan telinga, serta melempar debu dan tumbuhan. Ketika melakukan hal-hal tersebut, gajah biasanya hanya menggertak saja. Di sisi lain, gajah yang senang biasanya mengangkat belalainya. Gajah yang tunduk akan menundukkan kepala dan belalainya, serta meratakan telinganya di lehernya, sementara gajah yang menerima tantangan akan membuat telinganya berbentuk V.[118]

Gajah menghasilkan suara melalui larinks, walaupun beberapa dimodifikasi oleh belalai. Salah satu suara gajah yang paling dikenali adalah suara deruman yang biasanya dibunyikan ketika sedang senang, dalam keadaan sukar, atau agresif.[119] Gajah yang sedang bertengkar biasanya meraung, dan yang terluka akan melenguh.[120] Bunyi frekuensi rendah dihasilkan ketika sedang sedikit ghairah,[121] dan beberapa di antaranya merupakan infrabunyi.[122] Panggilan infrabunyi merupakan cara berkomunikasi yang penting, terutama untuk jarak jauh.[119] Frekuensi panggilan infrabunyi pada gajah Asia berkisar antara 14–24 Hz dengan tekanan suara sebesar 85–90 dB yang biasanya berlaku selama 10–15 detik.[122] Sementara itu, frekuensi pada gajah Afrika lebih kurang from 15–35 Hz dengan tekanan suara yang mencapai 117 dB, sehingga ia dapat berkomunikasi dengan jarak maksimum 10 km (6 mi).[123]

Bunyi frekuensi rendah yang divisualisasikan oleh kamera akustik.

Di Amboseli, beberapa panggilan infrabunyi telah diidentifikasi. Bunyi frekuensi rendah untuk menyapa dikeluarkan oleh ahli salah satu kawanan keluarga setelah terpisah selama beberapa jam. Panggilan yang dibuat oleh individu yang telah terpisah biasanya lembut dan tidak termodulasi. Panggilan tersebut dijawab oleh panggilan yang awalnya keras, tetapi kemudian menjadi lebih lembut. Bunyi frekuensi rendah yang lembut dibunyikan oleh matriark untuk memberitahu ahli kawanan lain untuk pindah ke tempat lain. Gajah jantan yang sedang mengalami musth mengeluarkan bunyi frekuensi rendah yang bergetar, sehingga digelar “motosikal”. Bunyi gajah yang sedang mengalami musth dijawab oleh "paduan suara betina", iaitu suara-suara termodulasi dan frekuensi rendah yang dihasilkan oleh beberapa gajah betina. Suara panggilan yang keras dapat dibunyikan oleh gajah betina setelah mengawan, sementara ahli keluarganya mengeluarkan suara kegembiraan yang dipanggil "hiruk pikuk mengawan".[121]

Gajah juga dapat melakukan komunikasi seismik, iaitu getaran yang dihasilkan oleh tubrukan ke permukaan tanah atau gelombang akustik yang melintasi tanah. Gajah nampaknya bergantung pada tulang tungkai dan bahunya untuk memancarkan isyarat ke telinga tengah. Setelah mengesan isyarat seismik, gajah bersandar ke depan dan memberatkan kaki depannya. Gajah mempunyai beberapa adaptasi yang cocok untuk melakukan komunikasi seismik. Struktur khusus pada kaki gajah yang membantu menyokong beban (cushion pads) mempunyai nodus tulang rawan dan serupa dengan lemak akustik pada mamalia laut seperti paus bergigi dan dugong. Otot seperti sfinkter di sekitar saluran telinga menyempitkan jalur masuk, sehingga meredam isyarat akustik dan membuat gajah dapat mendengar lebih banyak isyarat seismik.[124] Gajah nampaknya menggunakan seismik untuk beberapa hal. Individu yang sedang berlari dapat menghasilkan isyarat seismik yang dapat didengar pada jarak yang jauh.[125] ketika mengesan panggilan yang memberi tahu bahaya pemangsa, gajah akan melakukan postur defensif dan kawanan keluarga akan bergerombol. Gelombang seismik yang dihasilkan melalui gerak alih merambat dengan kecepatan hingga 32 km (20 mi), sementara kecepatan gelombang hasil vokalisasi hanya 16 km (10 mi).[126]

Kecerdasan dan kognisi

Rencana utama: Kognisi gajah
Seekor gajah menggunakan sebuah kubus agar dapat menjangkau makanan.

Gajah dapat mengenali dirinya di cermin, sehingga menandakan kesedaran diri dan kognisi, yang juga telah ditemukan pada kera dan lumba-lumba.[127] Pemerhatian terhadap gajah Asia betina dalam kurungan menunjukkan bahawa gajah dapat mempelajari dan membezakan sesuatu secara visual dan akustik. Individu pada pemerhatian tersebut bahkan dapat melakukannya dengan sangat jitu pada percubaan visual yang sama setahun kemudian.[128] Gajah merupakan salah satu spesies yang dapat menggunakan alat. Seekor gajah Asia telah diperhatikan mengubah suai dahan pokok dan menggunakannya untuk memukul lalat.[129] Namun, pengubahsuaian alat oleh gajah tidak semaju cimpanzi. Sementara itu, kemungkinan gajah mempunyai peta kognitif yang dapat membuat ia mengingati ruangan yang luas dalam waktu yang lama. Gajah-gajah individu juga nampaknya dapat melacak lokasi kawanan keluarga ia.[55]

Ilmuwan masih memperdebatkan sejauh mana gajah dapat merasai emosi. Gajah nampaknya menunjukkan ketertarikan pada tulang-tulang gajah lain, walaupun gajah tersebut bukan saudaranya.[130] Seperti pada cimpanzi dan lumba-lumba, gajah yang nazak atau sudah mati akan menarik perhatian dan mendapat bantuan daripada gajah lain, termasuk gajah daripada kawanan lain. Kelakuan seperti ini telah diinterpretasikan sebagai "perhatian";[131] namun, interpretasi tersebut dikritik kerana dianggap antropomorfik.[132][133] Oxford Companion to Animal Behaviour (1987) bercadang agar ilmuwan mempelajari kelakuan haiwan daripada cuba mengetahui emosi yang mendasarinya.[134]

Rujukan

WikiPedia: Gajah http://www.smh.com.au/articles/2006/02/16/11400642... http://arts.anu.edu.au/grovco/Loxodonta%20cyclotis... http://www.chinadaily.com.cn/english/doc/2005-07/1... //www.amazon.com/dp/B0007J8A7E http://www.asianelephantresearch.com/about-elephan... http://www.asianelephantresearch.com/about-elephan... http://regis.cubedeglace.com/wp-content/uploads/20... http://regis.cubedeglace.com/wp-content/uploads/20... http://www.dailyrecord.com/article/20090304/UPDATE... http://www.elephants.com/media/MSNBC_2_28_05.htm